Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli
fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa
antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada
yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu
melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,
"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke
barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka
makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan
engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama
aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan."
Maka
Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga
menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan
syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian
Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka
berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia
pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu
terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika
dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa
simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.
Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi
itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar
burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari
rezekiku."
Nabi
itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh
putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit
daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu
dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun
melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh
Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Kedua;
semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak
jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi
membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu
ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata
hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah
kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala
kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba
Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia
bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak
pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka
berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata
itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri.
Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
No comments:
Post a Comment